Kempen Hari Kebangsaan – “Tourism Selangor Prihatin” Dilancar Di Semua Landasan Digital Tourism Selangor
KEMPEN HARI KEBANGSAAN – “TOURISM SELANGOR PRIHATIN” DILANCAR DI SEMUA LANDASAN DIGITAL TOURISM SELANGOR
Semarakkan Semangat Patriostisme dengan Mengikuti Kemas-kini Kempen yang Berlangsung dari 13 Ogos Hingga 16 September Ini!
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang jatuh pada tanggal 31 Ogos ini, Tourism Selangor telah melancarkan Kempen Hari Kebangsaan – Tourism Selangor Prihatin di semua landasan digitalnya termasuk laman sesawang rasmi; www.selangor.travel dan laman media sosial rasmi Instagram, Twitter, Facebook, aplikasi TikTok dan juga saluran Youtube.
Selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan Negara iaitu “Malaysia Prihatin”, Kempen Tourism Selangor Prihatin dilancarkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pengguna media sosial khususnya penggemar aktiviti pelancongan. Kempen ini juga dijalankan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sejarahsejarah tanah air dan menghargai jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tempatan dalam memperoleh kemenangan Negara yang kekal sehingga ke hari ini.
Inisiatif Kempen Tourism Selangor Prihatin yang bermula 13 Ogos lalu sehingga 16 September ini bukan sahaja menyemarakkan semangat nasionalisme dalam bulan kebangsaan ini tetapi juga diteruskan hingga ke sambutan Hari Malaysia yang ke-58 yang jatuh pada tarikh akhir Kempen.
Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Kempen Hari Kebangsaan – Tourism Selangor Prihatin yang menampilkan bahan promosi serba interaktif ini dilihat mampu membawa masyarakat menghayati sejarah dan menikmati tempat-tempat pelancongan di Negeri Selangor secara maya. Antara intipati Kempen adalah posting atau hantaran media sosial termasuk siri “Imbasan Sejarah sekitar Negeri Selangor”, penghasilan artikel khas sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, perkongsian “Jadual Perjalanan Jejak Warisan Sekitar Negeri Selangor” dan segmen video berkonsepkan trivia sejarah di aplikasi TikTok yang amat digemari generasi masa kini”.
“Dalam membudayakan pendigitalan pelancongan ke arah “Tourism 4.0”, inisiatif Kempen ini tentunya memberi pendedahan kepada orang awam tentang keunikan Negeri Selangor yang tidak hanya tertumpu kepada kepesatan bandar, malah juga kaya dengan tempat tinggalan sejarah yang boleh memberi pengajaran dan pembelajaran kepada semua, terutamanya generasi muda”, tambah Tuan Azrul Shah.
Dalam menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dalam diri bersama Tourism Selangor menerusi Kempen ini, anda boleh mengikuti hantaran atau posting pihak Tourism Selangor di laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube untuk mengimbau kembali sejarah-sejarah Negara khususnya yang terlakar di Negeri Selangor. Terus semarakkan semangat cinta akan tanah air dan ambil pengajaran dari peristiwa sejarah yang berlaku demi memajukan diri sendiri, komuniti, dan Negara!
Dalam masa sama, anda juga boleh dapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada masa hadapan dengan melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel.
#MalaysiaPrihatin
#TourismSelangorCares
#PusingSelangorDulu
-TAMAT-